
“Ramadan makin dekat, tapi saya terlupa nak ganti puasa yang telah saya tinggalkan. Macam mana ya?”
Perlu difahami bahawa menggantikan puasa Ramadan yang pernah ditinggalkan pada bulan Ramadan yang lepas adalah wajib.
Jadi siapa yang perlu membayar fidyah?
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Surah al-Baqarah (184)
Ayat di atas menerangkan tentang fidyah, iaitu denda kerana meninggalkan kewajipan ibadah yang telah difardukan ke atasnya.

Untuk golongan pertama, iaitu orang tua yang lemah dan pesakit yang tiada harapan sembuh, mereka ini tidak wajib berpuasa atas sebab kemampuan diri mereka. Oleh sebab itu, Allah SWT memberi keringanan kepada mereka untuk hanya membayar fidyah bagi hari yang telah ditinggalkan puasa.

Berdasarkan ayat di atas, Ibn Abbas juga menukilkan:
Maksudnya: “Sementara perempuan mengandung dan ibu yang menyusukan anak bimbang akan kesihatan anaknya, mereka juga harus berbuka dan wajib memberi makanan tersebut.”
Riwayat Abu Daud
Menurut mazhab Syafie, bagi ibu mengandung dan menyusukan anaknya, dibenarkan berbuka, kerana bimbangkan bayi atau kesihatan dirinya.
Dalam erti kata lain:
Sekiranya dia berbuka kerana bimbang kesihatan dirinya, maka dia hanya perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya.
Namun sekiranya dia berbuka oleh kerana bimbang kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungannya seperti berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya keguguran atau susu berkurangan, maka dia wajib untuk ganti puasa tersebut dan juga perlu membayar fidyah ke atas hari-hari yang ditinggalkan itu.

Bagi golongan orang yang telah meninggal dunia, tetapi masih ada baki puasa yang belum digantikan pula, jika dia tidak mampu menggantikannya kerana sakit yang berpanjangan, maka tidak berdosa dan tidak perlu diganti oleh warisnya.
Namun, jika dia meninggal dalam keadaan mampu menggantikan, maka ada dua situasi:
1. Jika si mati meninggalkan harta pusaka, maka wajib bagi si waris untuk menggantikan puasa bagi si mati sama ada dengan membayar fidyah atau berpuasa. Sunat bagi waris untuk menggantikan puasa si mati.
Ini berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Aisyah R.A, sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Meskipun begitu, menggantikan hutang puasa dengan bayaran fidyah adalah lebih afdal.
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa bulan Ramadan, hendaklah sesiapa bagi pihaknya memberi sedekah makanan kepada orang miskin setiap hari.”
Riwayat al-Tirmizi
2. Sekiranya si mati tiada harta, harus bagi sesiapa bersedekah baginya, lalu terlepaslah tanggungjawab si mati.

Yang terakhir, orang musafir, pesakit dan orang yang lambat menggantikan puasanya, wajib menggantikan puasa sebelum tiba bulan Ramadan yang berikutnya. Namun jika cuai, tidak dapat menggantikan puasa hingga tiba Ramadan yang berikutnya, maka dikira berdosa dan wajib membayar fidyah.
Tetapi bagi orang yang sakit hingga masuk Ramadan berikutnya, wajib menggantikan puasa sahaja tanpa perlu bayar fidyah.
Kesimpulannya,ada 4 golongan yang perlu bayar fidyah:
1. Orang tua yang lemah dan pesakit yang sudah tiada harapan sembuh.
2. Ibu mengandung dan menyusukan bayi.
3. Orang yang telah meninggal dunia dalam keadaan masih lagi mempunyai hutang puasa yang belum digantikan.
4. Musafir, pesakit dan orang yang sengaja melambatkan ganti puasa.
Moga bermanfaat.
_____________________________________________________________
Nak selesaikan fidyah anda tapi tak tahu di mana? Layari https://ezfidyah.com.my/fidyah/ untuk maklumat lanjut atau membuat pembayaran.
Sumber Rujukan:
1. Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan Siri Ke 232
2. Maktabah al-Bakri, Soal Jawab Agama, Puasa #708
