Berhati-hati dalam menyebarkan berita

Share

“Mai, kau dah solat belum?”, tanya Ida.

Jam di meja kecil, di sudut kiri rumah menunjukkan pukul 7.45 malam.

“Ala, sikit lagi, nanti aku solat lah. Kau solat lah dulu.” jawab sahabatnya itu.

“Hmm, jangan kata aku tak ingatkan. Aku nak turun bawah ni, ke warung Mak Leha. Nak pesan apa-apa?” kata Ida.

Mai diam membatu, matanya tetap di kaca telefon mudah alih yang baru dibelinya minggu lepas.

Menggeleng-geleng si Ida. Bukan sekali dua Mai buat begitu, dah berkali-kali dingatkan. Malah masih lagi begitu.

Mai terus menolak skrin telefon ke atas, satu-satu ditatapnya. Tangan ditopangkan ke dagu, berteleku di atas meja.

“Eh, ini kan Rasydan, budak pejabat sebelah tu?” getus hati Mai.

Terpampang gambar Rasydan dengan seorang perempuan, sebelah-menyebelah pula di laman sosial media itu.

“Ini berita sensasi lagi terkini, seharusnya aku sebarkan pada masyarakat.” kata si Mai lagi.

 

 

Ting! Ting!

Gembira rasa hati Mai. Fikirnya pasti ramai akan terkejut dan meraikan berita ini. Mesti ramai like dengan komen nanti, bertalu-talu masuk ke pemberitahuan di telefon nanti.

“Eh Mai! Apa kau dah buat?” tanya Ida. Riak muka penatnya terlihat. Letih naik tangga mungkin.

“Kenapa Ida? Apa yang aku buat? Kau tak tengok ke, ramai yang komen pada gambar si Rasydan itu. Kau cemburu kan, Ida?” jelas Mai sambil tertawa.

“Ya Allah, Mai. Itu adik dia lah. Aku tahulah sebab dia datang ke pejabat haritu bertanyakan abangnya si Rasydan. Kau lupa aku kan kerja di tempat yang sama dengan dia?” kata Ida dengan nada risau.

“Betul ke Ida?” tanya Mai terpinga-pinga.

“Betul lah”. Tegas si Ida. Tuntas.

“Ida, tolong aku! Alaaa..”mengeluh panjang Mai.

Moral: Berhati-hatilah menyebar berita, salah sebar, buruk padahnya. Malu dapat, muka pun kelat.

Sabda Nabi SAW:

“Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta apabila dia menceritakan semua apa yang didengari.”

HR: Muslim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Semasa

Berita semasa