Kaffarah Penghapus Dosa

Share

Pengenalan Kaffarah

Perkataan Kaffarah dalam Bahasa Arab yang diambil daripada perkataan Ka-Fa-Ra (كَفَرَ) yang bermaksud menutup sesuatu. Manakala Kaffarah dalam konteks ini bermaksud, suatu perbuatan yang boleh menutup atau menghapuskan dosa dengan cara memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.

Kaffarah juga dikira sebagai denda atau hukuman ke atas seseorang muslim yang mukallaf kerana telah melakukan sesuatu perkara yang melanggar syariat Allah SWT.

Hikmah Kaffarah

Sememangnya manusia tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan sehingga melepasi had batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka sesiapa yang telah melampaui batas, melanggar atau meninggalkan perintah Allah, maka dia hendaklah bertaubat dan menjalani hukuman yang telah disyariatkan, antaranya ialah Kaffarah. Justeru, antara hikmah dan tujuannya Kaffarah ialah:

1. Penghapus dosa dengan diiringi taubat nasuha

2. Membersihkan jiwa dari segala kekotoran dosa

3. Menutup kecacatan atau kecuaian seorang hamba

4. Meringankan bebanan rasa bersalah kerana melakukan maksiat

5. Memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak melampaui batas dengan melanggar perintah Allah SWT

Hukum Menunaikan Kaffarah

Seseorang muslim yang telah melanggar perintah Allah SWT, maka ia wajib menunaikan 3 perkara berikut:

1. Beistighfar dan bertaubat kepada Allah SWT

2. Menyesali perbuatannya

3. Menunaikan Kaffarah mengikut ketetapan yang telah disyariatkan.

Sebab-Sebab Dikenakan Kaffarah

1. PERSETUBUHAN DI SIANG HARI RAMADAN

Iaitu pasangan suami dan isteri yang telah merosakkan ibadah puasanya dengan melakukan persetubuhan di siang hari bulan Ramadan ketika kedua-duanya sedang berpuasa. Antara syarat dikenakan Kaffarah ini ialah:

– Pasangan tersebut menyedari bahawa dia sedang berpuasa.

– Mengetahui pengharaman bersetubuh di siang hari Ramadan.

– Persetubuhan itu berlaku bukan kerana paksaan.

– Puasa yang dibatalkan dengan persetubuhan itu adalah puasa wajib Ramadan.

– Bukan orang yang mendapat rukhsah untuk berbuka puasa, seperti sedang bermusafir.

2. ZIHAR – MENYAMAKAN ANGGOTA ISTERI DENGAN MAHRAMNYA

Iaitu suami yang menyamakan mana-mana anggota sulit isteri dengan anggota sulit wanita mahramnya. Contohnya jika suami berkata: “punggung awak sama seperti punggung ibu saya” maka berlakulah Zihar. Dan perbuatan Zihar adalah haram dan berdosa. Justeru dia hendaklah bertaubat dan menunaikan Kaffarah sebagai hukumannya.

TERTIB KAFFARAH BERSETUBUH DAN ZIHAR:

1. Memerdekakan seorang hamba yang beriman. Oleh kerana sistem penghambaan dalam Islam telahpun dimansuhkan, maka gugurlah tertib yang pertama ini. Terus pergi kepada tertib kedua dan seterusnya.; atau

2. Berpuasa selama 2 bulan berturut-turut. Jika tidak mampu berpuasa, maka hendaklah:

3. Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

* Kadar Kaffarah ialah: 60 orang x RM4.00 = RM240

3. MELANGGAR SUMPAH

Iaitu seseorang yang bersumpah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan mana-mana lafaz sumpah seperti: “Wallahi, Wabillahi, Watallahi”  وَاللهِ وَبِاللهِ وَتَاللهِ . Namun, jika ia melanggar sumpah atau mendustakan sumpahnya, maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT diikuti dengan menunaikan Kaffarah.

4. TIDAK MENUNAIKAN NAZAR

Nazar ialah seseorang yang telah berjanji kepada Allah SWT untuk melakukan sesuatu perkara secara iltizam (mewajibkan diri untuk melakukan perkara tertentu). Contohnya seseorang itu berkata: Saya bernazar untuk berpuasa 10 hari jika sekiranya saya sembuh daripada penyakit iniMaka bentuk lafaz ini dikira sebagai Nazar. Jika dia tidak menunaikan Nazarnya, maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT dan menunaikan Kaffarah sebagai hukumannya.

TERTIB KAFFARAH SUMPAH DAN NAZAR:

1. Memerdekakan seorang hamba yang beriman. Oleh kerana sistem penghambaan dalam Islam telahpun dimansuhkan, maka gugurlah tertib yang pertama ini. Terus pergi kepada tertib kedua dan seterusnya.

2. Memberi makan sehingga kenyang kepada 10 orang fakir miskin. Atau:

(Kadar Kaffarah ialah: 10 orang x RM4.00 = RM40)

3. Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.

(Kadar Kaffarah ialah: 10 orang x RM50 = RM500)

Justeru, setiap muslim hendaklah senantiasa berwaspada agar tidak melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syariat, sehingga menyebabkan dirinya terjerumus ke lembah dosa. Oleh itu, perbanyakkanlah melakukan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, disamping itu menambah ilmu agama untuk memperbaiki amalan, agar ianya dilakukan bertepatan dengan syariat dan sunnah Nabi SAW.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Semasa

Berita semasa