“Maafkan saya puan, suami puan sudah meninggal dunia,” kata doktor, mengesahkan lagi kepergian suamiku. Aku rasa duniaku kelam seketika.
. . . . . . .
Aku pulang ke rumah setelah sekian lama. Kali terakhir aku disini, aku tak pasti. Masaku banyak habis di rumah arwah ibu, kerana lebih dekat dengan hospital pada masa itu.
Yang pastinya, dulu, di rumah ini, hilai tawa, gurauan manja, penuh warna ceria kami berdoa. Kali ini, aku masih berdoa juga. Dengan anak kami. Cuma tiada dia.
Penyeri hidupku. Sahabat baikku. Dia suamiku.
“Kreeek”.
Bunyi pintu kayu dibuka dari luar mematikan lamunanku. Adik perempuan aku yang satu, masuk ke rumah. Waktu-waktu cuti begini, biasa dia datang sambil melepaskan rindu dekat Sumayyah, anak aku dan Khairil.
Mungkin aku rindu pada masa lalu. Mungkin rindu pada suasana dulu. Mungkin pada seseorang di masa itu. Siapa tahu? Aku tak tahu. Aku cuma rindu.
Di rumah ini, semuanya masih sama. Halaman rumah, sofa, dapur dan juga kenangan di dalamnya.
Terbayang susuk tubuh suamiku. Yang aku lihat sayup-sayup dari kejauhan. Masa itu kami riang gembira di tepian pantai. Itu 8 tahun yang lepas. Aku rindu.
Aku buka almari. Satu persatu baju aku selak. Aku kenal sungguh corak baju ini. Tersimpan rapi dalam almari. Ya. Dah lama aku simpan rapi, sentiasa sedia mana tahu Khairi nak pakai nanti, bila-bila dia mahu.
Baju hampir lusuh itu aku hidu, cium. Aku rindu.
Alhamdulillah, Allah izinkan kami mempunyai zuriat. Dah lama kami cuba, tapi tak pernah berjaya.

Namun, bahagia yang aku kecapi ini hanyalah sementara. Khairil pergi dulu sebelum sempat dia jumpa puteri kecil ini. Bidadari kami.
Aku tak pernah bercerita pada siapa pun tentang ini. Yang tahu pun cuma adik aku, dan keluarga mertua. Lepas aku bersalin, puteri kami, Sumayyah dimasukkan ke wad kerana degupan jantungnya yang laju. Itu yang bila ada yang terkejut bila tahu aku dah bersalin.
Syukur dengan nikmat yang Allah beri, aku tak pernah lupa menunaikan tanggungjawabku. Janji arwah agar menjaga agama, diri dan keluarga aku tunai, pasti. Lagipun ini saja yang tinggal. ‘Harta’ peninggalan arwah padaku. Sumayyah.
“Abang, Ilya dah bayar fidyah kali ini..tapi abang tiada untuk lihat anak kita.” kataku sambil menguruskan kerja rumah. Sumayyah dah pandai tersenyum. Kadang menangis, kadang diam tidur. Begitulah resmi budak.
Di rumah kecil ini, aku rasakan kosong tanpa yang tersayang, tapi aku ada Dia.
Terima kasih Allah atas pemberian kasih sayang ini. Cukup buatku rasa bahagia, tanpa dia disisi.