Sebaik-baik Ucapan Terima Kasih

Share

Malam itu kurasakan kosong. Air teh tarik yang sudah dipesan sejak dari tadi, masih lagi belum separuh di minum.

Kaca televisyen di kedai mamak itu sedang rancak menayangkan perlawanan bolasepak. Namun dipandang kosong dari tadi.

Rasa kusut, serabut, penuh bertamu di dada.

Entahlah, tiap hari pasti ada sahaja benda yang tidak kena.

Di pejabat, menjadi satu kewajipan pula dimarahi oleh majikan. Kadang-kadang terlewat. Kadang-kadang terlebih masa menyiapkan kerja.

Lumrah hidup dunia. Lambat pasti kena tinggal.

“Eh tak mahu pesan makanan ke?” tanya pelayan restoran itu, mematikan lamunan ku dari tadi.

“Maaf, saya pesan nanti. Tak habis fikir lagi.” balas ku dengan harapan dia segera pergi. Aku tak tahu mengapa aku disini. Air yang dipesan pula sekadar jadi lesen untuk duduk di sini. Minum pun tak.

Hujan renyai-renyai turun, seperti meraikan kesulitan aku hari ini.

“Aduhai, basah lah helmet.” Dengan cepat aku ke motorsikal ku di tepi kaki lima. Aku terlangkupkan bahagian lembut helmet itu ke bawah agar tidak dibasahi hujan.

Sedang aku kembali ke kerusi ku untuk menyambung keluhan perasaan, terlihat nenek tua, bertongkat, berjalan sedikit demi sedikit ke arah bahu jalan.

“Mahu ke seberang mungkin.” telahku.

Lama jugak aku perhatikan dalam hujan, nenek itu masih disitu. Orang-orang disekitar hanya melulu ke depan, tiada peduli pada orang tua itu.

“Ah sedapnya, sejuk betul malam ni.” omongku sambil duduk, lalu terus menghirup air panas yang hampir sejuk. Tapi nenek tadi masih di situ, ditemani hujan.

Dimensi malas dan kasihan bercampur baur bagai adunan doh roti canai dalam diri. Nak tolong, malasnya. Tapi dah lama bawah hujan, demam nanti macam mana?

“Nenek, nak ke mana? Boleh saya tolong?” tanyaku setelah bermonolog dengan diri sendiri sedari tadi.

“Nak ke kedai seberang cu, nenek nak beli gula. Hujan begini sedap cicah biskut.”

“Ok jom.” Lampu hijau mengiringi langkah kami berdua ke destinasi dituju.

“Terima kasih lah cu. Hanya Allah dapat balas. Nenek takut nak lintas jalan, laju-laju  kereta semua.” ucap nenek padaku.

Mendengar ucapan itu, hati ku senang. Seperti dah lama aku nantikan. Seperti ucapan terima kasih itu adalah ubat pada masalah ku selama ini. Logiknya, aku tak tahu. Tapi buat masa ini, itu yang aku perlukan.

Berbunga-bunga hati aku, menuju jalan pulang. Yang pasti aku akan lebih positif dengan hari yang mendatang.

Terima kasih!

Sabda Nabi SAW:

“Sesiapa yang diperlakukan dengan baik kepadanya kemudian dia mengucapkan kepada yang melakukan kebaikan tersebut (semoga Allah membalas kebaikanmu dengan sebaik-baik (pembalasan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang terbaik.”

HR: At-Tarmizi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Semasa

Berita semasa