Pengenalan Wakaf
Wakaf merupakan satu daripada amalan sedekah yang sangat dituntut oleh Islam. Sepertimana juga amalan sedekah yang lain, amalan ini telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar oleh Allah SWT kepada pewakafnya. Ganjaran ini akan sentiasa mengalir kepada pewakafnya meskipun sudah meninggal dunia selagi mana harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan oleh orang ramai.
Wakaf adalah konsep dalam Islam yang mengacu pada penyerahan atau pengalihan kepemilikan aset atau properti untuk tujuan amal atau kegiatan sosial yang menguntungkan umat. Aset yang diwakafkan biasanya tidak boleh dijual, dialihkan, atau dimanfaatkan untuk kepentingan peribadi melainkan digunakan untuk kepentingan umum. Sebagai contoh, tanah wakaf adalah tanah yang diuntuk bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.
Wakaf, dalam konteks keagamaan Islam, didasarkan pada ajaran dan prinsip-prinsip dari Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Meskipun istilah “wakaf” sendiri tidak secara tepat disebutkan dalam Al-Quran, tetapi konsepnya tegas melalui prinsip-prinsip yang disebutkan di dalam beberapa ayat berkaitan harta dan amal soleh.
Dalil
Salah satu dalil-dalil yang sering disebut dan berkait rapat dengan konsep wakaf adalah di dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahwa “ketika seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, anak yang soleh yang mendoakannya” (HR. Muslim no. 1631). Wakaf dianggap sebagai bentuk sedekah jariah kerana manfaatnya terus mengalir bahkan setelah kematian seseorang.
Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(Surah Ali Imran: 92)
Rukun
Rukun wakaf merujuk pada syarat-syarat yang harus ada agar suatu wakaf dianggap sah dan berlaku menurut hukum Islam. Meskipun terdapat perbezaan pendapat di antara para ulama tentang rukun wakaf, terdapat beberapa unsur utama yang umumnya diakui sebagai pelengkap dari suatu wakaf yang sah.
Rukun Wakaf
1. Al-wakif iaitu pihak yang mewakafkan harta sama ada individu ataupun organisasi.
2. Al-mauquf iaitu harta yang diwakafkan sama ada harta alih atau harta tidak alih.
3. Al-mauquf ‘alaih iaitu pihak yang diwakafkan kepadanya harta atau pihak yang menerima manfaat wakaf tersebut.
4. Sighah iaitu lafaz yang digunakan oleh pewakaf bagi mewakafkan harta tersebut.
Sejarah Wakaf
Ibadah wakaf ini telah diamalkan oleh Rasululullah SAW dan para sahabat sejak sekian lama setelah ia disyariatkan. Wakaf memiliki sejumlah manfaat yang signifikan, baik bagi individu mahupun masyarakat secara keseluruhan.
Diriwayatkan bahawa apabila Abu Talhah mendengar sahaja ayat 92 dari surah Aali Imran (rujuk ayat sebelum ini) maka beliau segera untuk mewakafkan harta yang paling disayanginya iaitu kebun Bairuha’. Kata beliau kepada Rasulullah SAW:
إِنَّ رَبَّنَا لَيَسْأَلُنَا مِنْ أَمْوَالِنَا فَأُشْهِدُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنِّي جَعَلْتُ أَرْضِي لِلَّهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kita meminta untuk kita mengeluarkan infak daripada harta kita, maka aku bersaksikan kamu wahai Rasulullah SAW, bahawa aku menjadikan tanah ini milik Allah SWT (untuk diwakafkan).
Riwayat al-Nasaie (3602)
Sirah Nabi SAW ada menceritakan kisah Saidina Uthman Ibn ‘Affan RA yang mewakafkan telaga yang disebut sebagai bi’r al-ruumah untuk kegunaan umat Islam ketika itu. Telaga tersebut dibeli oleh beliau daripada seorang Yahudi yang menghalang orang ramai dari menggunakannya dan mengenakan harga yang tinggi bagi sesiapa yang ingin mengambil air daripadanya. Tindakan bijak Saidina Uthman merupakan suatu amalan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam ketika itu, bahkan ada pendapat menyebut bahawa sebab turun surah al-Fajr, ayat 27-30 selepas berlakunya peristiwa ini. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa:
وَرَوَى الضَّحَّاكُ إِنَّهَا نَزَلَتْ فِي عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حِينَ وَقَفَ بِئْرَ رُومَةَ
Maksudnya: Al-Dahhak meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan pada Uthman Ibn ‘Affan RA ketika beliau mewakafkan telaga al-ruumah.
(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 20/ 58)
Penutup
Akhir kalam, semoga sedikit perkongsian berkenaan amalan wakaf ini membuka hati kita agar mula untuk berwakaf yang dapat memberikan manfaat dan ganjaran yang berpanjangan.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
(Surah al-Baqarah: 261)